Menaiki ETS ke Ipoh merupakan pilihan yang ideal jika anda ingin elak dari kesesakan lalu lintas dan penat memandu. Perjalanan dengan ETS bukan sahaja selesa, tetapi juga memudahkan perancangan perjalanan anda. Berikut adalah cadangan itinerari 1 hari untuk anda yang ingin menikmati keunikan bandar Ipoh, bermula dari stesen KL Sentral.
#1. Perjalanan Bermula di KL Sentral
Mulakan hari anda di stesen KL Sentral. Dari Seremban, anda boleh menaiki Komuter untuk sampai ke sini. Setelah tiba di KL Sentral, teruskan ke platform B di aras 2 untuk menaiki ETS menuju ke Ipoh. Pilih jadual perjalanan ETS pukul 8.00 pagi agar anda mempunyai masa yang cukup untuk menikmati keindahan bandar Ipoh. Tiket ETS boleh dibeli secara online melalui laman web KTM Berhad atau di kaunter tiket.
Tip Tambahan: Jika anda seorang pelajar sekolah menengah, pelajar universiti, atau warga emas pesara, jangan lupa untuk mendaftar dengan KTM Berhad bagi mendapatkan diskaun tiket sebanyak 40%. Jimat banyak, kan?
#2. Nikmati Perjalanan Selesa dengan ETS
ETS menyediakan pengalaman perjalanan yang sangat selesa. Antara kemudahan yang disediakan ialah:
– Ruang tempat duduk luas: Memberikan keselesaan sepanjang perjalanan.
– Tandas bersih dan surau: Memudahkan keperluan asas anda.
– Kafe mini : Menjual pelbagai makanan ringan dan minuman.
– TV Hiburan : Anda boleh menonton filem atau rancangan menarik sepanjang perjalanan.
Perjalanan dari KL Sentral ke Ipoh mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit. Nikmatilah pemandangan di sepanjang perjalanan sambil berehat.
#3. Tiba di Stesen KTM Ipoh
Setibanya di stesen KTM Ipoh sekitar pukul 10.30 pagi, anda boleh terus berjalan kaki ke lokasi menarik yang terdekat. Salah satu destinasi utama ialah **Concubine Lane**, yang hanya terletak kira-kira 7 minit berjalan kaki dari stesen. Dengan berjalan kaki, anda bukan sahaja dapat menjimatkan tambang Grab, tetapi juga berpeluang melihat suasana bandar Ipoh yang tenang dan unik.
Baca Lagi : 10 Lokasi Poto Paling Top Di Bali
#4. Menjelajah Concubine Lane
Concubine Lane adalah tempat wajib singgah jika anda ke Ipoh. Lorong ini terkenal dengan suasana retro dan kedai-kedai unik yang menjual pelbagai barangan menarik seperti cenderamata, makanan tempatan, dan minuman viral. Antara tarikan di sini ialah:
- Kedai Rendang Tok MakNik : Anda boleh mencuba rendang tok yang sangat lazat sehingga sukar untuk tidak membelinya.
- Spot Fotografi Instagrammable : Banyak lokasi menarik di sini yang sesuai untuk OOTD dan kenangan manis.
Luangkan masa menikmati makanan jalanan seperti ais kepal, kaya puff, dan kopi putih Ipoh yang asli. Jangan lupa membeli beberapa cenderamata untuk kenangan atau sebagai buah tangan untuk keluarga dan rakan-rakan.
#5. Aktiviti Tengah Hari
Selepas puas berjalan-jalan di Concubine Lane, anda boleh menjelajah lokasi lain yang berdekatan:
- Plan B: Sebuah kafe hipster dengan menu moden dan suasana santai.
- Ipoh Mural Art Trail : Jalan-jalan melihat seni mural yang menghiasi dinding-dinding bangunan lama di sekitar bandar.
- Han Chin Pet Soo Museum: Muzium ini memberikan gambaran menarik tentang sejarah perlombongan bijih timah di Ipoh.
#6. Masa untuk Berehat
Sekitar pukul 2.00 petang, anda boleh menikmati makan tengah hari di salah satu restoran terkenal seperti:
- Restoran Nasi Vanggey : Nasi kandar yang sangat popular di Ipoh.
- Restoran Tauge Ayam Lou Wong : Hidangan tauge ayam yang menjadi kegemaran ramai.
Pastikan anda mencuba hidangan tempatan ini sebelum meninggalkan Ipoh.
#7. Penutup Hari di Ipoh
Selesai makan tengah hari, anda boleh meluangkan masa di Kong Heng Square untuk membeli beberapa barangan antik atau menikmati kopi di salah satu kafe vintage di kawasan itu. Jika masa mengizinkan, kunjungi juga Padang Ipoh untuk bersantai sambil melihat bangunan kolonial yang bersejarah.
#8. Pulang ke KL Sentral
Untuk perjalanan pulang, anda boleh menaiki ETS dari stesen KTM Ipoh pada pukul 5.00 petang. Perjalanan kembali ke KL Sentral mengambil masa yang sama, iaitu sekitar 2 jam 30 minit. Anda akan tiba di KL Sentral sebelum malam, memberi anda masa yang cukup untuk berehat selepas seharian menikmati keindahan Ipoh.
Baca Lagi : Itinerary 4 Hari 3 Malam Ke Kota Kinabalu
Tip Tambahan untuk Perjalanan Naik ETS:
1. Tempah tiket awal : Tiket ETS sering habis terutama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
2. Bawa bekalan makanan ringan : Walaupun terdapat kafe dalam ETS, membawa snek kegemaran anda boleh menjimatkan kos.
3. Pilih tempat duduk strategik : Jika anda mahu menikmati pemandangan, pilih tempat duduk di tepi tingkap.
Perjalanan 1 hari ke Ipoh menaiki ETS sememangnya memberikan pengalaman yang berbeza dan menyeronokkan. Dengan hanya beberapa jam perjalanan, anda dapat menikmati makanan tempatan, membeli cenderahati, dan merasai suasana unik bandar Ipoh. Jadi, apa tunggu lagi? Rancang trip anda sekarang dan nikmati perjalanan yang mudah, selesa, dan berbaloi!
Suka dengan artikel begini? Suka Travel & ingin dapatkan pelbagai voucher penginapan menarik? Jom jadi geng jomlahcuti. Klik link sini untuk register secara PERCUMA.