Apa Kedutaan Malaysia Boleh Bantu Kalau Kita Terkandas di Luar Negara?
Ramai antara kita mungkin tak pernah terfikir pasal benda ni selagi semuanya berjalan lancar masa travel. Tapi bila berdepan masalah jauh dari tanah air, sekurang-kurangnya kita tahu ke mana nak rujuk dan apa bantuan yang boleh diminta.
Perkongsian ni elok korang baca dan simpan sebagai persediaan sebelum trip seterusnya. Manalah tahu suatu hari nanti korang perlukan info ni.
Apa Kedutaan Malaysia Boleh Bantu Kalau Kita Terkandas di Luar Negara?
Arwah ayah saya dulu bekerja di Kedutaan Malaysia. Sebab tu, kebanyakan hidup saya membesar di luar negara. Saya juga pernah bekerja di kedutaan.
Jadi, hari ni saya nak kongsi sedikit tentang tugas kedutaan dan apa yang mereka boleh bantu kalau rakyat Malaysia menghadapi masalah ketika berada di luar negara.
Apa sebenarnya tugas Kedutaan Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi?
#1.KALAU TERKANDAS DI LUAR NEGARA AKIBAT PERANG
Jika berlaku peperangan, rusuhan atau kecemasan besar, kedutaan boleh membantu menyampaikan maklumat rasmi, memberi panduan keselamatan dan menyelaras bantuan atau usaha membawa pulang rakyat Malaysia jika keadaan mengizinkan.
Tapi proses ini bergantung pada keadaan keselamatan, akses ke lapangan terbang dan pengangkutan yang tersedia. Bukan semua orang boleh dibawa pulang serta-merta.
#2. KALAU HILANG PASPORT
Kedutaan boleh membantu menerangkan proses mendapatkan dokumen perjalanan kecemasan supaya awak boleh pulang ke Malaysia, tertakluk pada syarat yang ditetapkan.
#3. KALAU DITANGKAP ATAU DITAHAN DI LUAR NEGARA
Kedutaan boleh memberi bantuan konsular, membantu menghubungi keluarga dalam keadaan yang sesuai dan memberi maklumat tentang cara mendapatkan khidmat peguam.Tetapi kedutaan tak boleh sewenang-wenangnya membebaskan awak daripada tahanan atau menghalang proses undang-undang negara tersebut.

#4. KALAU MASUK HOSPITAL ATAU TERLIBAT DALAM KEMALANGAN
Kedutaan boleh membantu menghubungi keluarga dan memberi panduan tentang bantuan yang mungkin tersedia.
Namun, bil hospital, rawatan dan perbelanjaan peribadi biasanya perlu ditanggung sendiri atau melalui insurans.
#5. KALAU RAKYAT MALAYSIA MENINGGAL DI LUAR NEGARA
Kedutaan boleh membantu keluarga memahami prosedur yang perlu dilakukan, termasuk urusan membawa pulang jenazah jika boleh.
Tetapi kos pengurusan dan penghantaran pulang jenazah biasanya perlu ditanggung oleh keluarga atau insurans, jika dilindungi.
#6. KALAU PERLUKAN BANTUAN KEWANGAN
Ini bahagian yang ramai orang mungkin tak tahu.
Kedutaan bukan bank dan bukan tempat untuk meminta duit apabila kita kehabisan wang.
Mereka biasanya tak akan membayar hotel, makanan, tiket kapal terbang atau bil perubatan awak.
Dalam keadaan tertentu, mereka mungkin boleh membantu menghubungkan awak dengan keluarga untuk mengatur penghantaran wang kecemasan. Tetapi itu bukan bermaksud kedutaan akan memberikan wang kepada awak.

Jadi, bila awak patut hubungi kedutaan?
Jangan tunggu sampai keadaan menjadi terlalu serius..
Hubungi Kedutaan Malaysia atau Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang terdekat jika:
- Awak terkandas akibat perang atau kecemasan.
- Pasport hilang dan awak perlukan dokumen untuk pulang.
- Awak ditahan atau ditangkap.
- Awak terlibat dalam kemalangan serius atau dimasukkan ke hospital.
- Keselamatan awak terancam akibat rusuhan, bencana atau krisis lain.
Baca Lagi : Hotel KL Dengan View KLCC
Kalau berlaku peperangan atau ruang udara ditutup, ikut arahan pihak berkuasa, semak nasihat perjalanan rasmi dan hubungi kedutaan untuk mengetahui bantuan yang tersedia.
Pesanan saya untuk sesiapa yang nak ke luar negara, termasuk untuk Umrah.
Pastikan awak ada wang kecemasan, insurans perjalanan yang sesuai, salinan pasport dan dokumen penting, serta nombor telefon kedutaan Malaysia.
Jangan bergantung sepenuhnya pada kedutaan untuk menanggung semua perbelanjaan jika sesuatu berlaku.
Kita memang berharap perjalanan berjalan lancar, tetapi kita juga perlu bersedia menghadapi perkara yang di luar jangkaan.
Saya kongsi semua ini berdasarkan pengalaman membesar di luar negara dan pernah bekerja di kedutaan. Semoga perkongsian ini membantu lebih ramai rakyat Malaysia memahami fungsi kedutaan dan tahu ke mana perlu pergi apabila menghadapi masalah di luar negara.
Semoga Allah sentiasa melindungi kita walau di mana kita berada. آمين.
Kredit: Threads missain.99
Photo: FB Wisma Putra
Follow Social Media Jomlahcuti
Facebook : @jomlahcuti ●Instagram : @jomlahcuti ●TikTok : @jomlahcuti
